Friday 1 June 2012

Wanita Daripada Rusuk Kiri



Assalamualaikum. Lama rasanya saya tak update blog ini. Maklumlah sekarang musim peperiksaan namun dikesempatan dan peluang yang ada ini ingin saya kongsikan bersama anda persoalan mengenai wanita adalah daripada rusuk kiri seorang lelaki paling atas yang bengkok dan kenapa wanita ini sangat unik ciptaannya.



Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Nabi S.A.W bersabda :
"...Layanilah wanita dengan baik dan dengan kebaikan,
kerana wanita adalah dicipta dari rusuk , dan bahagian yang paling bengkok tulang
rusuk adalah bahagian atas. Dan jika anda meluruskannya, anda akan mematahkannya, dan jika
anda membiarkannya, ia akan kekal bengkok. Jadi layanilah wanita-wanita dengan baik. Dan
bahagian paling bengkok tulang rusuk [yakni wanita] adalah bahagian atas [kepala]"
[Riwayat Bukhari : 3331, At-Tirmidhi : 1188]


Orang kristian berpendapat bahawa hadis ini menghina wanita, di mana mereka sebutkan bahawa seandainya kita betulkan wanita ini, akan patah. Kalau dibiarkan pula, akan tetap bengkok. Maka lebih baik tidak diendahkan. Mereka membuat andaian bahawa hadis ini menunjukkan wanita itu suatu kecacatan.


Jawapan...

Sebenarnya, tidak disebut baginda Muhammad saw bahawa wanita adalah cacat dalam hadis ini. Malah, jika dikatakan wanita itu cacat, ia bercanggah dengan Firman Allah swt :



''[Adalah Allah]Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya''
[Surah As-Sajdah : 7]



Maka, adalah sebuah kejian sekiranya Allah ciptakan wanita itu cacat seperti dikatakan orang kafir itu. Namun sebenarnya ciptaan Allah diciptakan dengan sebaik-baiknya.


Lihat pada sudut perspektif yang akan saya terangkan ini. Wanita diciptakan Allah dengan sifat feminin mereka, sifat lemah lembut mereka, penyayang mereka. Dan seorang lelaki seharusnya menerima seorang wanita itu seadanya, dan menerima sifat semulajadi mereka yang Allah telah tentukan.
  
{Dan jika anda meluruskannya, anda akan mematahkannya; dan jika anda membiarkan, ia akan kekal bengkok. Jadi layanilah wanita-wanita dengan baik}

Maksud ayat diatas adalah jika seorang lelaki itu melayani wanita dan mendidik wanita itu agar menjadi seperti apa yang lelaki itu mahukan, maka wanita itu akan "patah". Wanita tidak akan sempurna seperti yang lelaki itu mahukan dalam sesuatu aspek. Seharusnya wanita dilayan dengan kesabaran, anda juga seharusnya bersabar memahami wanita, kerana mereka merupakan ciptaan yang sangat indah. Namun jika dipaksa juga, maka wanita ini akan "patah" dan kerana itulah banyak penceraian terjadi.

{Dan bahagian paling bengkok tulang rusuk [yakni wanita] adalah adalah bahagian atas [kepala]}


Disini dijelaskan bahawa bahagian wanita yang paling sukar untuk "diluruskan" adalah kepalanya, iaitu pemikiran mereka, emosi mereka dan sebagainya. Cukup mendalam hadis ini sebenarnya. Dalam bahasa mudahnya adalah, wanita ini sukar untuk difahami dari segi emosi mereka, perasaan mereka oleh pihak lelaki. Kerana pada lelaki, cara pemikiran lelaki berbeza dari wanita. Anda akan melihat bahawa sering terjadi pergaduhan dalam rumah tangga kerana tiada kesefahaman antara suami isteri dan kesukaran untuk suami mengikuti kehendak, pemikiran isteri .

Rusuk melindungi jantung dan paru-paru

Dalam ilmu biologi, rusuk merupakan suatu tulang yang melindungi organ dalaman iaitu jantung dan paru-paru. Wanita diumpamakan sebagai rusuk untuk memuliakan mereka. Seandainya rusuk ini diluruskan, atau dipatahkan, maka jantung dan paru-paru lelaki ini akan terdedah kepada ancaman. Maka, untuk elakkan daripada organ lelaki ini cedera, maka lelaki ini haruslah menjaga rusuk mereka sebaiknya.

Bayangkan andainya bahawa anda akan dipukul, untuk melindungi jantung anda daripada kesakitan, semestinya...anda akan melindungi "RUSUK" anda dahulu, kerana jika rusuk ini bengkok atau patah ke dalam, ia akan menyakitkan anda.


Begitu jugalah anda harus menjaga wanita yang diciptakan Allah ini yang begitu unik sekali. Mereka seharusnya difahami, bukan dilahirkan semata-mata untuk mengikut kehendak anda sahaja. Allah menjadikan ciptaanNya begitu baik tanpa ada cacat. Demikian juga dengan kita. Jadi layanilah wanita dengan sebaik-baiknya.



''Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan 
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
[Surah At-Tin : 4]