Saturday, 2 February 2013

Konvoi,Senapang dan Dumyat

Assalamualaikum. Kepada semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Tergerak hati saya untuk menulis post baru berkenaan dengan perjalanan konvoi saya bersama rakan-rakan saya ke Dumyat yang pada saya sangat mencabar dan tak pernah di alami oleh kami sebelum ini. Mungkin ada yang berfikir ini mungkin sekadar rekaan semata-mata namun hakikatnya inilah yang terjadi pada kami selama 2 hari ketika berada di Dumyat.

27 Januari 2013

9.30 pagi : Kami semua berkumpul di Baitul Hasanah untuk menikmati sarapan yang disediakan disana sebelum kami bertolak ke Dumyat. Masing-masing ceria kerana buat pertama kalinya kami semua berkonvoi di Mesir dalam jarak yang jauh dengan hanya menaiki motosikal. Semua lengkap dengan passport dan helmet full face untuk mengelakkan daripada habuk masuk ke dalam mata. Setelah siap bersarapan kami terus bertolak tepat jam 10.30 pagi. Konvoi ini di sertai oleh 11 orang pelajar dan 6 buah motorsikal berjenama Dayun, 2 buah Benelli, sebuah Boxer, sebuah Platina dan sebuah Vespa.

12.00 t/hari : Perhentian kami yang pertama di highway Salah Saleem, salah satu jalan menuju ke Zagazig. Kami berehat sebentar sambil mengambil gambar bersama-sama. Perjalanan yang masih jauh harus di tempuh oleh kami semua membantutkan niat kami untuk berehat lebih lama. Kami meneruskan perjalanan seperti biasa tanpa ada masalah.

1.30 petang : Kami diduga buat kali pertama dengan masalah motorsikal salah seorang sahabat kami yang secara tiba-tiba pancit di tengah jalan. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan sejauh yang mungkin dengan mengurangkan beban yang ada pada motor tersebut. Akhirrnya kami terpaksa berhenti kerana tayar motor tersebut terlalu kempis dan tiada angin. Kemudian sebuah lagi motorsikal mengalami masalah kekurangan minyak motor namun dapat diselesaikan dengan mengambil sedikit minyak dalam setiap motor yang ada. Berkenaan dengan motor yang pancit itu, kami buntu kerana dikalangan kami tiada seorang pun yang membawa pam tayar walaupun kelengkapan yang lain sudah ada manakala kiri dan kanan kami padang pasir sahaja. Kami mengambil keputusan untuk membuka tayar tersebut dan memasang tayar baru. 3 orang sahabat kami termasuk saya pergi membawa tayar tersebut dan mencari stesen minyak yang berdekatan. Alhamdulillah dalam 1 KM di hadapan kelihatan stesen minyak namun stesen minyak tersebut tidak ada tempat untuk mengepam tayar. Kami meneruskan usaha mencari dan Allah permudahkan urusan kami kerana ada sebuah lagi stesen minyak dihadapan dengan tempat mengepam tayar juga disediakan. Setelah siap, kami pulang ke tempat sahabat-sahabat kami yang sedang menunggu dan memasang balik tayar. Kami teruskan semula perjalanan seperti biasa.

3.30 petang : Salah sebuah motorsikal jenama Benelli secara tiba-tiba mati seakan-akan tidak mahu meneruskan perjalanan ini. Ditambah pula dengan kondisi seorang sahabat kami yang tiba-tiba muntah kerana tidak selesa dengan perjalanan yang sangat panjang. Setelah memperbaiki motor tersebut, kami meneruskan semula perjalanan kami tanpa merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepada kami.

3.45 petang : Kami berhenti di stesen minyak berdekatan dengan Ismailiyah. Suasana masih lagi gembira namun sedikit penat kerana kami membawa motor dengan perlahan dengan kelajuan 60-70 Km/h. Kami mengalas perut dengan membeli sedikit makanan yang ada di stesen minyak tersebut. Orang Arab Mesir yang bekerja di situ sangat peramah. Namun kami dikhabarkan dengan berita yang tidak baik apabila salah seorang dari mereka memberitahu  bahawa baru terjadi rusuhan di Port Said waktu itu dan kemungkinan akan ada banyak polis-polis yang menjaga di sekitar jalan yang akan kami lalui. Untuk pengetahuan semua, jalan ke Dumyat yang kami ambil akan melalui jalan ke Port Said sehingga sampai ke satu simpang menghala ke Dumyat namun cukup dekat dengan Port Said dan akan memberi masalah kepada kami. Setelah kami berbincang, kami memutuskan untuk meneruskan juga kerana kami sudah pun sampai di pertengahan jalan walaupun kami tahu risiko yang bakal kami lalui.

4.40 petang : Kami melepasi tol Ismailiyah dan kelihatan beberapa askar menjaga disitu. Kami melepasi dengan mudah tanpa ditahan. Ketika dalam perjalanan, kami melalui sebuah tempat yang dipenuhi dengan polis lengkap bersenjata di tepi kami namun mereka tidak menahan kami dan membiarkan kami melepasi mereka. Tetapi salah seorang dari kami melihat ada seorang polis mengacu senapang ke arah kami dari semak berhampiran dan dia berfikir mungkin polis itu hanya berkawal di situ. Setelah beberapa KM melepasi mereka, kami melihat sebuah jip yang penuh dengan polis lengkap bersenjata melepasi kami dan menjerit ke arah kami sambil mengacu senapang kepada kami. Jip tersebut menghimpit motor sahabat kami yang berada di hadapan dan mengarahkan kami supaya berhenti. Kami memperlahankan motor dan belum sempat kami berhenti, jip tersebut terus melanggar motor kami sehingga sahabat kami terjatuh dari motor. Dalam keadaan kelam kabut itu, kedengaran bunyi tembakan dari mereka ke arah tanah berhampiran memaksa kami berhenti dan baring di atas jalan. Sahabat kami yang di langgar tadi cuba untuk berlari ke arah kami di pukul dan ditendang oleh pihak polis malah duit didalam dompetnya juga diambil oleh polis tersebut. Kemudian datang beberapa jip polis yang lain cuba mengawal keadaan lalu lintas yang sesak ketika itu dan mengepung kami sambil mengacu senapang ke arah kami. Motor kami di terbalikkan dan barang kami diselongkar oleh mereka. Setelah itu, salah seorang daripada mereka bertanya kepada kami apakah warganegara kami, kami berkata Malaysia. Dia tidak percaya, kami menunjukkan passport yang kami bawa. Terus berubah air muka mereka kerana mereka telah menahan orang yang salah. Mereka bertanya macam-macam dan setelah itu mereka menjelaskan bahawa kumpulan motor kami ini telah diperhatikan sejak kami memasuki Ismailiyah tadi. Mereka berkata yang mereka mendapat maklumat akan ada sekumpulan motor yang datang dari jauh mahu membuat kacau di Port Said dan mereka menyangka kami lah orang nya. Mereka meminta maaf dan terus berlalu dari situ melepaskan kami yang masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian tadi. Setelah mereka pergi, kami mengutip barang kami dan berlalu dari situ meneruskan perjalanan kami.

5.20 petang : Sekali lagi motor berjenama Benelli tiba-tiba mati ditengah jalan dan memaksa kami untuk berhenti seketika. Setelah diperiksa, motor tersebut tidak dapat dikenal pasti apa masalah nya menyebabkan kami risau jika polis tadi datang semula kepada kami kerana kami berhenti di tepi jalan. Dugaan tidak berakhir disitu apabila datang pula 3 jip askar bersenjata berhenti di tepi kami. Kami dapat merasakan mereka akan buat perkara yang sama seperti polis tadi. Tekaan kami meleset, askar tersebut memberi salam dengan baik dan bertanya kepada kami ke mana kami mahu pergi. Kami menjawab setiap soalan yang diberi dengan jujur dan mereka melakukan pemeriksaan ke atas kami. Yang menarik perhatian mereka adalah beg gitar yang kami bawa itu dan mereka menyangka terkandung senjata didalamnya. Begitu juga dengan helmet full face yang kami pakai menyukarkan mereka untuk membezakan kami rakyat Malaysia dengan rakyat dari negara mereka. Setelah diperiksa dan memastikan barang yang kami bawa tidak merbahaya, mereka turut berlalu pergi. Tuan empunya gitar itu mengambil keputusan untuk meninggalkan gitar yang di bawa di tepi jalan. Kami semakin kusut kerana hari semakin gelap dan kami harus meneruskan perjalanan kami sedangkan motor tersebut masih tidak dapat diperbaiki. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menunda motor tersebut hingga sampai ke persimpangan antara Port Said dan Dumyat itu kerana berhampiran dengan simpang itu terletaknya sebuah stesen minyak. Dalam perjalanan kami itu, kami di potong sebuah motor ditunggangi orang Arab dan pada mereka kelihatan sebuah gitar. Kami lihat gitar itu kepunyaan kami. Hilanglah gitar peneman kami selama ini. Perjalanan terasa sangat jauh dan kami tercari-cari di mana simpang tersebut kerana selagi kami berada di jalan itu, kami pasti akan di tahan lagi. Alhamdulillah kami sampai di stesen minyak itu dengan selamat.

6.30 malam : Kami berehat seketika di stesen minyak ini dan perjalanan masih panjang lagi, sekitar 60 KM lagi yang harus kami tempuh sebelum sampai ke Dumyat. Motor masih rosak dan kami tersadai di stesen minyak itu. Kebetulan salah seorang arab di situ yang juga imam di surau berdekatan menawarkan untuk menolong kami. Dia mengesyorkan kepada kami supaya meninggalkan motor itu di rumah nya dan kami boleh meneruskan perjalanan kami seperti biasa. Kami berfikir bahawa meninggalkan motor disitu adalah berisiko besar memandangkan motor pelajar Malaysia banyak hilang kerana dicuri. Kami menghubungi sahabat kami supaya datang ke stesen minyak itu dengan menaiki lori. Dia telah bertanya dengan ramai pemandu lori namun tiada seorang pun yang berani untuk ke tempat kami memandangkan tempat yang kami berada ketika itu sangat hampir dengan Port Said. Kami sudah hilang punca dan tidak tahu apa yang perlu dibuat. Kami bercadang untuk berehat dahulu sehingga pagi baru kami meneruskan perjalanan.

9.00 malam : Setelah 2-3 jam berehat disitu, imam tersebut kembali kepada kami membawa tali yang panjang dan mencadangkan supaya diikat motor yang rosak itu dengan motor lain dan menunda motor itu hingga ke Dumyat. Kami setuju dan kami meneruskan juga perjalanan itu dengan motor yang rosak. Perjalanan menjadi semakin perlahan dan rumit.

10.25 malam : Kami sampai di Dumyat tanpa masalah di tengah jalan. Ramai yang menarik nafas lega kerana kami sudah pun sampai di sana. Hanya tinggal untuk ke Ras El Bar untuk bertemu dengan sahabat kami disana dan check in ke rumah tumpangan kami. Kami bertanya kepada salah seorang Arab di situ dan dia mahu menolong kami tapi kami perlu bawa dia sekali. Dengan keadaan motor kami, kami menolak pertolongan itu dengan baik. Ketika itu kami lihat kami di kerumuni dengan ramai orang Arab sehingga sesak jalan. Rasa seperti artis sekejap. Haha. Kemudian, muncul seorang lelaki mahu menunjukkan jalan kepada kami dengan menaiki kereta. Kami merasa sangat berbesar hati, bersyukur kerana Allah permudahkan perjalanan kami. Orang-orang Arab di Dunyat sangat peramah dan kami gembira dengan pertolongan yang mereka beri. Kami teruskan semula perjalanan kami.

11.05 malam : Kami sampai di Ras El Bar dengan selamat tanpa ada masalah. Kami bersyukur kerana tiada yang cedera sepanjang perjalanan pergi ini. Sahabat kami, Iqbal yang tinggal di Dumyat membawa kami ke rumah tumpangan. Kami terus berehat kerana hari esok kami akan ke pantai mencari kerang.

28 Januari 2013

11:00 pagi : Kebanyakan kami baru bangun dari tidur dan masing-masing masih lagi keletihan. Kami bercadang untuk membeli barang dahulu kemudian baru ke pantai mencari kerang. Ini sebahagian dari gambar-gambar yang sempat kami ambil. Biarlah gambar yang menceritakan. =)















































29 Januari 2013

11:00 pagi : Kami bersiap-siap untuk pulang ke Kaherah setelah 2 hari di Dumyat (tak sampai 2 hari pun). Salah seorang dari kami pergi mencari lori yang sanggup untuk pergi balik ke Kaherah membawa motor yang rosak. Ramai yang tidak mahu namun akhirnya jumpa juga seorang yang sanggup pergi ke Kaherah dengan bayaran 400 LE. Setelah siap, kami bertolak meninggalkan Dumyat. Dari  buah motor, yang mampu meneruskan perjalanan hanya tinggal 4 buah sahaja kerana Vespa mengalami masalah di pertengahan jalan. Kami pulang tanpa ada masalah, Allah permudahkan perjalanan kami. Kami sampai di Kaherah sekitar jam 4.00 petang dengan kelajuan purata 100 Km/h.


Perjalanan konvoi kami ke Dumyat memberi banyak pengalaman dan pengetahuan yang tak dapat di beli dengan wang ringgit. Kami sangat berbangga kerana kami berjaya mengharungi cabaran-cabaran sehingga kami pergi dan pulang dengan selamat. Alhamdulillah, semuanya berkat pertolongan dari Allah dan doa dari kami semua. Suka duka, senang susah kami bersama. Itulah kawan. Tanpa kawan, kita tak mampu hidup sendiri. Saling tolong menolong, mereka inilah sahabat sejati. Dunia akhirat insyaAllah. Semoga ada lagi konvoi yang akan datang dan kami harap tak akan ada masalah seperti ini lagi. Wallahualam. =)



No comments:

Post a Comment